SMK BATU MENGKEBANG

SMK BATU MENGKEBANG

Label

Wednesday, May 30, 2012

Zainal Abidin bin Ahmad (ZA'BA)


1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Dalam bab ini, satu tinjauan umum akan diberikan tentang seorang tokoh dalam bahasa, sastera, ekonomi, agama, mahupun politik iaitu Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Za’ba. Huraian akan ditumpukan kepada sumbangan yang telah diberikan oleh beliau. Dalam lain bahagian, penjelasan ringkas tentang riwayat hidup beliau akan dibincangkan. Seterusnya, akan disentuh sedikit tentang kedudukan beliau dalam masyarakat Melayu di samping disenaraikan beberapa karya yang telah ditulis oleh beliau.



1.2 Ruang lingkup

Penulisan ilmiah saya merangkumi ruang lingkup yang terhad. Kertas ini mengupas tentang sumbangan yang telah dilakukan oleh Za’ba semasa hayatnya serta beberapa rentetan dari hidup beliau.



1.3 Batasan

Batasan daripada penulisan ilmiah saya ini merangkumi sumbangan dan riwayat hidup Za’ba. Selain itu, batasan daripada penulisan ilmiah saya turut merangkumi kedudukan beliau dalam masyarakat Melayu serta senarai karya dan artikel beliau.



2.0  RIWAYAT HIDUP ZA’BA

Bapa Za’ba bernama Ahmad, berketurunan Bugis, serta berasal dari Linggi. Ahmad telah berkahwin dengan Intan binti Awaluddin yang berasal dari Batu Kikir iaitu ibu Za’ba. Lima tahun selepas perkahwinan, Za’ba dilahirkan. Za’ba telah dilahirkan pada tahun 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Sejak berumur lima tahun lagi, bapa Za’ba telah menekankan ilmu keagamaan kepada beliau. Beliau telah diajar membaca Al-Quran oleh bapa beliau sendiri. Selain diajar membaca Al-Quran, beliau juga dididik untuk belajar berzanji, bersyair dan juga berpantun. Hal ini kerana, Ahmad menginginkan anaknya menjadi seorang ulama besar serta dapat melanjutkan pelajaran agama di Mesir mahupun Mekah suatu hari kelak. Hasil dari didikan Ahmad, Za’ba dapat mengkhatamkan Al-Quran dalam masa tiga tahun sahaja di samping mahir dalam rukun-rukun solat. Setelah itu, barulah diajarkan kemahiran berzanji dan lain-lain.

            Walau bagaimanapun, hanya setelah berumur 12 tahun Za’ba mula bersekolah. Hal ini berikutan kerana pada waktu itu, tiada sekolah dibuka melainkan hanya pondok-pondok serta surau-surau untuk mempelajari ilmu agama. Namun begitu, beliau hanya mempelajari ilmu agama bersama beberapa pelajar lain dari bapanya yang juga merupakan seorang pengajar Al-Quran di surau.

            Semasa berusia 12 tahun, sebuah sekolah Melayu telah dibuka di Batu Kikir. Za’ba merupakan antara pelajar terawal yang mendaftar untuk bersekolah. Di sekolah, za’ba didapati lebih pintar dari pelajar-pelajar yang lain. Beliau telah mempunyai kemahiran menulis jawi, selain pandai dalam pengiraan matematik iaitu tambah, tolak, darab, dan bahagi hasil dari ajaran bapanya. Oleh sebab itu. Za’ba telah dinaikkan ke darjah tiga.

Kepandaiannya juga membolehkan beliau membaca naskhah-naskhah Melayu yang dimiliki oleh bapa beliau. Pada usia sembilan tahun, beliau telah pun membaca Hikayat Siti Zubaidah, Hikayat Abdullah, Hikayat Si Miskin, Hikayat Bustamam, Hikayat MuhamadHanafiah dan Sejarah Melayu.

            Pada tahun yang sama, Za’ba telah ditukarkan sekolah oleh bapanya dari sekolah Melayu di Batu Kikir ke sekolah di Linggi. Hal ini kerana bapanya mahu memberikan beliau peluang belajar agama dengan tokoh-tokoh ulama terkenal di Negeri Sembilan.  Pada sebelah pagi, beliau belajar di sekolah Linggi, manakala pada sebelah petang beliau menuntut ilmu agama di Masjid Linggi.

            Pada November 1909, Za’ba telah menduduki peperiksaan Scholarship Examination 1909. Dalam peperiksaan tersebut, Za’ba telah lulus dengan cemerlang dan merupakan murid terbaik daripada 265 murid di seluruh Negeri Sembilan. Pada waktu itu, pemilihan dibuat bagi melayakkan diri untuk memasuki sekolah Inggeris seperti Malay College Kuala Kangsar atau Christian Brothers Schools di Seremban, atau menjadi seorang guru pelatih. Walau bagaimanapun, beliau telah memilih untuk menjadi guru pelatih meskipun beliau berminat dan layak untuk ke sekolah Inggeris. Hal ini disebabkan bapanya tidak menginginkan beliau ke sekolah Inggeris kerana khuatir kalau-kalau anaknya akan menjadi kafir. Bapanya, Ahmad, menginginkan anaknya menjadi guru di Linggi, dan meneruskan pelajaran agamanya sekali gus membolehkan beliau melanjutkan pelajaran ke Mesir atau Mekah.

            Secara senyap-senyap, Za’ba telah menulis surat rayuan kepada orang Inggeris. Rayuannya diterima. Pada Januari 1910 beliau telah berjaya ke sekolah Inggeris iaitu  St. Paul’s Institution di Seremban. Sekolah Inggeris St. Paul’s Institution di Seremban merupakan satu-satunya sekolah Inggeris yang ada di Negeri Sembilan pada waktu itu. Beliau telah berjaya mendapat biasiswa dari kerajaan Negeri Sembilan sebanyak $5.00 sebulan.

Pada tahun 1911, Za’ba telah pun berjaya melompat naik dari darjah tiga ke darjah lima. Menurut Adnan (1994:52), bapa saudara Za’ba iaitu Datuk Muda memberi galakan kepada beliau untuk menulis dan mengarang. Za’ba merupakan pelajar yang pintar. Beliau sekali lagi telah berjaya melompat naik dari darjah lima ke darjah tujuh iaitu Preliminary Cambridge. Pada akhir tahun 1915, beliau telah berjaya menamatkan pelajaran darjah sembilan iaitu Senior Cambridge.

            Za’ba telah ditawarkan dengan dua pekerjaan, sebagai kerani di sekretariat dan sebagai guru sementara.Za’ba tidak terlalu tertarik dengan pekerjaan sebagai kerani, sebaliknya beliau lebih memilih untuk menjadi seorang guru sementara dengan gaji $25 sebulan kerana ingin melakukan pekerjaan yang memerlukan daya berfikir.

Pada waktu itu, Za’ba telah menulis  artikel pertamanya yang diterbitkan di Utusan Melayu pada tahun 1916 yang bertajuk Temasya Mandi Safar di Tg. Keling. Tidak lama kemudian, Za’ba memohon pula jawatan sebagai guru di Johor Baru yang diiklankan di dalam akhbar The Straits Times.  Permohonannya telah berjaya. Beliau melaporkan diri kepada Pegawai Pelajaran Johor pada Jun 1916. Beliau ditugaskan sebagai guru penolong di Bukit Zaharah Government English College selama sebulan dan kemudiannya dihantar pula ke Johor Government English College dengan gaji pokok sebanyak $75.00 dan gaji bersih sebanyak $116.25.

            Za’ba meneruskan minat membacanya di Johor. Beliau kerap bertemu dengan seorang ulama terkenal iaitu Sheikh Tahir Jalaluddin, pengarang Al-Imam (1966-1908) bagi meneruskan pelajarannya tentang nahu Arab dan persamaannya dengan bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, penulisan beliau tidak terhenti begitu sahaja. Beliau lantang memberikan pendapat dalam Utusan Melayu dan Lembaga Melayu tentang kemunduran bangsa Melayu berbanding bangsa lain dengan menggunakan nama pena Patriot.Beliau turut mempersoalkan kemunduran dalam pendidikan anak-anak Melayu dan beliau juga berpolemik dengan seorang lain yang menggunakan nama pena Z.

            Za’ba telah berkahwin atas dasar cinta dengan Rafeah pada 10 April 1917 yang kemudiannya bercerai pada Julai tahun yang sama.  Pada tahun 1917 juga, beliau telah dikahwinkan dengan Fatimah . Namun begitu, pada Mac 1918, beliau dikurniakan seorang anak bernama Raihanah hasil perkahwinannya yang pertama.

            Za’ba menjadi seorang guru besar di Malay College Kuala Kangsar(MCKK) pada 3 Oktober 1918 dengan gaji $158.00. Di sana, beliau berpeluang belajar Senior Normal Education di Taiping pada 1920 hingga 1921 bagi mendapatkan latihan perguruan. Beliau kemudiannya menerbitkan majalah Pedoman Belia pada 1923 yang kemudiannya ditukar kepada Semaian. Semasa di MCKK, beliau menulis untuk majalah Pengasuh mengenai kepentingan ilmu dan kemajuan bangsa Melayu dari 1918 hingga 1922. Pada 1923, Za’ba bertugas sebagai penterjemah dan pengarang bagi membantu pegawai British menyediakan buku teks bagi kegunaan sekolah-sekolah Melayu.

            Za’ba menulis The Malay Mail mengenai The Poverty of the Malays pada 1 Disember 1923 dan tentang The Salvation of The Malays pada 22 Disember 1923. Za’ba turut berusaha menubuhkan The Malay Literary Society Kuala Lumpur pada 18 Mac 1924.  Mulai 1 April 1924, beliau mula berkhidmat di Sultan Idris Training College(SITC). Setahun kemudian, beliau bertugas di Pejabat Penterjemah atas arahan R.O Winsteds untuk menerbitkan The Malay School Series. Empat tahun seterusnya, beliau dikehendaki mengendalikan pula The Malay Home Library Series dan tugasnya semakin besar apabila dipertanggungjawabkan mengetuai Bahagian Pelajaran Bahasa Melayu di SITC. Di SITC, pelbagai buku-buku dan artikel-artikel telah ditulis oleh beliau. Pada 1931, beliau sempat berkenalan dengan Haji Abdullah bapa Hamka semasa melawat Indonesia selama tiga bulan.

            Za’ba dipindahkan ke Singapura kerana dipinjamkan ke Department of Information sebagai Juruhebah Perang di Radio Malaya Singapura dan beliau ditugaskan di situ walaupun  Jepun telah pun menguasai Singapura. Menurut Hamdan Hassan (1978:19)Za’ba mendapat tugas baharu daripada pemerintah Jepun untuk menulis buku-buku bacaan yang digunakan Malaya dan Sumatera.

            Selepas kekalahan Jepun dalam peperangan, Za’ba bekerja di Kuala Lumpur menjadi penterjemah kamus bahasa Melayu kembali. Beliau kemudiannya dilantik sebagai penterjemah kanan pada 1946 untuk menulis buku-buku sekolah Melayu pada 1946 dan dilantik sebagai pensyarah bahasa setahun berikutnya. Pada 1953, beliau dilantik pula menjadi pensyarah kanan di Universiti Malaya untuk menubuhkan Jabatan Pengajian Melayu. Beliau mendapatkan sarjana muda di London. Beliau kemudiannya dianugerahkan gelaran Pendeta oleh Kongres Bahasa danPersuratan Melayu III di Seremban. Beliau menamatkan perkhidmatan pada 1959 dan dianugerahi oleh Universiti Malaya gelaran Doktor Kehormat Kesusasteraan Melayu. Pada 1973, Universiti Kebangsaan Malaysia menganugerahkan beliau gelaran Doktor Kehormat.



3.0 KEDUDUKAN ZA’BA DALAM MASYARAKAT MELAYU

Nama Za’ba sebagai sudah tidak asing lagi dalam masyarakat.  Karya-karya beliau mengenai bahasa Melayu masih lagi dianggap standard. Beliau merupakan seorang tokoh yang radikal. Beliau merupakan tokoh yang disegani dalam bidang bahasa Melayu mahupun bahasa Arab, ditambah pula dengan pengetahuan tentang agama yang luas yang dimilikinya.

            Beliau merupakan seorang yang bersifat terbuka serta tidak malu mengakui kesilapan sendiri. Ketika beliau menerima bintang anugerah gelaran Datuk (Tan Sri) suatu ketika dahulu, beliau dengan lantang bersuara, mengakui bahawa buku-buku yang beliau telah usahakan masih banyak kekurangan dan kelemahan.

            Terdapat beberapa pendapat yang menyatakan bahawa Za’ba mempunyai persamaan dengan Abdullah Munsyi. Abdullah Munsyi dalam tulisannya pernah mengkritik tentang kepercayaan, pendidikan dan ekonomi penduduk peribumi dan membandingkan penduduk peribumi dengan orang Inggeris. Za’ba juga pernah mengkritik perkara yang sama, cuma kritikannya lebih konstruktif dan bersifat objektif. Selain itu, seperti Abdullah Munsyi, Za’ba tidak mempunyai angkatan, malah anak-anaknya juga tidak mahu mengikut jejak langkahnya. Sebaliknya, mereka lebih selesa memilih bidang lain yang mereka minati. Walau bagaimanapun, jejak langkahnya diikuti oleh Muhammad Ibrahim Musyi.

            Perkara yang membezakan mereka berdua adalah Abdullah Munsyi hanya menerangkan penyakit-penyakit sosial dalam kalangan masyarakat Melayu, sebaliknya Za’ba bukan sahaja menerangkan penyakit-penyakit tersebut malah memberikan pendapat tentang penawar penyakit tersebut iaitu pendidikan agama.

            Pendeta Za’ba juga terkenal seorang intelektual Melayu yang dihormati. Sejak beliau masih muda, beliau sangat prihatin dengan keadaan masyarakat. Beliau acap kali mengadakan polemik dalam majalah dan akhbar mengenai pendapatnya tentang bahasa, agama, iktisad, dan juga pendidikan. Beliau pernah menggunakan nam pena seperti Zai Penjelmaan, Patriot dan Za’ba.



4.0 SUMBANGAN DAN KARYA

4.1 SUMBANGAN ZA’BA

Tan Sri Dr. Zainal bin Abidin  telah diiktiraf dalam masyarakat dan negara sebagai seorang tokoh cendekiawan yang berwibawa. Beliau merupakan seorang pencetus dan pemikir dalam pelbagai bidang seperti agama, politik, sastera, bahasa dan lain-lain. Beliau juga merupakan salah seorang cendekiawan yang mendukung gerakan Islah suatu ketika dahulu. Dalam bidang politik pula, beliau merupakan seorang penggerak aktif dalam menyatukan bangsa Melayu serta menolak gagasan Malayan Union yang telah dicadangkan oleh orang Inggeris.

Walau bagaimanapun, beliau dilihat lebih menyerlah dalam bidang bahasa. Hal ini tidak dapat disangkal lagi kerana banyak sumbangan dalam bidang bahasa yang beliau telah berikan. Minatnya dalam bidang bahasa sudah timbul sejak kecil. Beliau telah bercita-cita untuk menulis sebuah buku tentang nahu Melayu sejak berumur dua belas tahun lagi. Semangatnya ditunjukkan bermula pada tahun 1918 semasa bertugas sebagai guru bahasa Melayu di Malay College Kuala Kangsar, beliau telah pun mula mengumpulkan perkataan-perkataan Melayu yang ditulis dalam tulisan Jawi.

Pada tahun 1924, beliau mengambil satu inisiatif dengan menubuhkan sebuah persatuan yang bermatlamatuntuk menyeragamkan ejaan Jawi. Beliau telah menjemput beberapa orang pegawai kerajaan yang berlatar belakangkan pendidikan Inggeris ke Kuala Lumpur dalam usaha bersama-sama menubuhkan ‘Pan Malayan Malay Literary Society’ bagi menyatukan sistem ejaan Melayu yang pada masa itu mempunyai pelbagai sistem ejaan serta memajukan perkembangan kesusasteraan Melayu moden.

Setelah hampir 20 tahun berusaha, akhirnya pada tahun 1938 beliau berjaya menyiapkan sebuah buku Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi) yang diterbitkan 10 tahun kemudian iaitu pada tahun 1949. Namun begitu, pada tahun 1931, beliau sempat menyiapkan sebuah buku mengenai undang-undang ejaan jawi dalam buku yang bertajuk Rahsia Ejaan Jawi.

Beliau bukan sahaja telah melakukan pembaharuan dalam sistem asas bahasa Melayu, malah beliau juga turut melakukan pembaharuan dalam bidang ejaan dan tatabahasa Melayu. Sezaman dengan tokoh linguistik Amerika yang terkenal, beliau merupakan orang yang menandai awal perkembangan ilmu linguistik Melayu. Taraf Za’ba sebagai perintis bahasa Melayu telah menarik perhatian Dr. syed Muhammad Naquib Al-Attas untuk mengurniakan kepada beliau ijazah Doktor Kehormat Persuratan pada 1973.

            Keunggulan Za’ba terletak pada kekuatan dan juga ketajaman pandangannya terhadap sistem bahasa Melayu. Walaupun beliau tidak terdedah dengan secara formal dengan bidang linguistik, kajian yang dilakukannya berjaya membuktikan gagasan-gagasan penting dalam bidang ilmu itu ada di dalam intuisinya. Za’ba juga memperlihatkan ketajaman pemahamannya tentang konsep fonetik dengan memperkenalkan perbezaan bunyi vokal dan bunyi konsonan. Mengenai huruf saksi pula, beliau memperkenalkan bunyi-bunyi vokal seperti vokal sempit dan vokal tinggi serta menggolongkan bunyi vokal a, e, o sebagai bunyi kasar dan e-pepet, e, u sebagai bunyi halus.

            Selain itu, beliau juga memperkenalkan konsep-konsep seperti vokal rangkap dan diftong. Analisis yang telah dilakukan oleh beliau sangat berpengaruh dalam bidang tatabahasa iaitu morfologi dan juga sintaksis. Beliau turut berjasa dalam bidang retorik. Karya beliau yang bertajuk Ilmu Mengarang Melayu menjadi panduan yang sungguh lengkap dalam kerja karang-mengarang, sama ada dalam bentuk prosa mahupun puisi. Menurut Prof. Dr. Hashim Awang dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Retorika Melayu dari Tanggapan Za’ba’, buku Ilmu Mengarang Melayu yang dikarang oleh Za’ba telah mendahului buku yang dikeluarkan oleh tokoh retorik Inggeris, Cleanth Brooks dan Robert Penn, iaitu Modern Rhetoric yang diterbitkan enam tahun lebih lewat dari buku yang dikarang oleh Za’ba.

Prof. Dr. HarimurtiKridalaksana (1986) merupakan seorang sarjana dari Indonesia yang telah mengangkat Za’ba sebagai Bapa Tatabahasa Tradisional Melayu Malaysia, setaraf dengan Sasrasoeganda yang diiktiraf sebagai Bapa Tatabahasa Tradisional Indonesia. Hal ini berikutan dari pengaruh tatabahasa Za’ba yang begitu besar dalam sistem pendidikan di Malaysia.



4.1 KARYA YANG TELAH DIHASILKAN OLEH  ZA’BA

Karya beliau yang pertama ialah sebuah artikel yang bertajuk Temasya Mandi Safar di Tg.Keling yang  diterbitkan di Utusan Melayu. Karya ini dihasilkan sewaktu beliau bertugas sebagai guru pelatih pada tahun 1916. Beliau kerap menulis dalam akhbar-akhbar tempatan seperti Utusan Melayu dan Lembaga Melayu dengan menggunakan nama pena Patriot.

            Beliau juga bertanggungjawab menulis untuk majalah Pengasuh semasa di MalayCollege Kuala Kangsar mengenai kepentingan ilmu pengetahuan untuk kemajuan bangsa Melayu dari tahun 1918 hingga taun 1922.

            Setahun kemudian, Za’ba menulis dalam The Malay Mail pada 1 Disember 1923 tentang The Poverty ofthe Malays dan juga tentang The Salvation of the Malays pada 22 Disember 1923. Pada ketika ini, beliau bertugas di Kuala Lumpur sebagai penterjemah dan pengarang Melayu di pejabat Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat.

            Kemudian, bermula pada 1 April 1924 beliau berkhidmat di Sultan Idris Training College(SITC). Semasa berkhidmat di SITC, beliau sempat melahirkan buku yang bertajuk Ilmu Bahasa Melayu I & II pada tahun 1927, Rahsia Ejaan Jawi pada tahun 1929 dan Ilmu Mengarang Melayu pada 1934.Pertemuannya dengan Haji Abdullah bapa Hamka dan Hassan Bandung semasa melawat Indonesia pada tahun 1931 telah memberikan beliau idea untuk menulis rencana-rencana di dalam majalah Al-Ikhwan, Semangat Islam dan Saudara.

            Beliau menyumbang dalam bidang tulisan Jawi apabila mengeluarkan buku bertajuk Panduan Ejaan Jawi pada tahun 1931 dan Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi) pada tahun 1938.

            Selain itu, beliau telah memodenkan bahasa Melayu dengan menulis Pelita BahasaMelayu pada tahun 1966 dan Ilmu Mengarang Melayu pada tahun 1968. Menurut Nik Safiah (1996:30), Za’ba mahu membentuk gaya bahasa Melayu yang benar-benar tulen.

            Za’ba banyak terpengaruh dengan gerakan Kaum Muda. Hal ini menyebabkan beliau banyak menulis mengenai agama Islam bukan sahaja di dalam akhbar-akhbar Melayu, malah beliau juga pernah menulis di dalam majalah The Muslim di Singapura dan juga Islamic Review di London.



5.0 KESIMPULAN

Secara tuntas, Tan Sri Zainal Abidin bin Ahmad merupakan seorang tokoh dalam pelbagai bidang yang unggul. Perjalanan hidup beliau dapat dilihat dengan jelas dalam hurian mengenai riwayat hidup beliau. Penerangan tentang jasa beliau diperjelaskan lagi melalui sumbangan yang telah diberikan oleh beliau dalam pelbagai bidang seperti bidang politik, bahasa, kesusasteraan dan sebagainya. Selain itu, hasil karya yang ditulis oleh beliau turut diberikan penekanan.


BIBILIOGRAFI

Abdullah Hussain, Khalid M. Hussain. 2000. Pendeta Za’ba dalam Kenangan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka

Wan Abdul Kadir, (ed.) 1976. Za’ba: Pejuang Bangsa. Kuala Lumpur. Penerbit Universiti Malaya

Abdul Hamid Mahmood et, al. 2004. Memartabatkan Warisan Pendeta Za’ba. Tanjong Malim. Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris

Adnan Hj. Awang. 1998. Za’ba dan Melayu. Kuala Lumpur. Berita Publishing

AsmahHj. Omar. 2000. Perangai Bergantung pada Diri Sendiri. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka

7 comments:

  1. Assalamualaikum.. boleh saya tahu nama bloger...?
    Saya nak ambil penulisan encik untuk dijadikan sorotan kajian bagi kerja kursus saya. Jadi saya harap encik dapat memberitahu nama penuh encik supaya saya dapat lampirkan dalam kerja kursus saya ini... terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
    2. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Boleh tak nk tahu nama blogger ni.. Sbb saya perlukannya utk buat assignment Sejarah STPM.. Saya harap tuan atau puan dapat membantu saya untuk saya lampirkan penulisan drpd blog ini ke dalam kerja kursus saya

      Delete
  2. Salam, saya sedang lakarkan sebuah buku. Saya ingin gunakan gambar pendeta Zaba dilaman ini dalam buku. Saya mohon kebenaran bagi menggunakan gambar Zaba ini. Pada siapa yang harus saya ajukan untuk mendapat kebenaran untuk menggunakannya agar tiada masaalah copyright. Email saya mohdsamadafandie@gmail.com

    ReplyDelete
  3. Assalam cik, boleh saya tahu nama cik untuk saya laksanakan penulisan kerja khusus saya? Penulisan cik sangatlah bagus. Saya baru jumpa penulisan cik untuk submit kerja khusus esok hari. Saya akan kreditkan nama cik dalam penulisan saya. Terima kasih🙏

    ReplyDelete
  4. assalam kepada cikgu girang... saya harith nabil pelajar tahun akhir UPSI.. saya berhajat mahu menggunakan gambar zaba diatas itu serta maklumatnya.. boleh izinkan saya menggunakannya?

    ReplyDelete