SMK BATU MENGKEBANG

SMK BATU MENGKEBANG

Label

Wednesday, May 30, 2012

Cerpen: Sehari Selembar Benang


“Nanti lah, Abang Apis! Adik letih ni…”. Kayuhan basikal kecil itu semakin dilajukan. Kaki kecil itu semakin galak mengayuh basikal tunggangannya. Keadaan jalan yang berbukit-bukit menyukarkan lagi kayuhan. “Ah, masakan basikal yang kecil dapat menandingi basikal bertayar besar!”, getus hatiku. Begitu lah rutin harian ku setiap kali ke sekolah. Basikal ku kayuh  agar ilmu dapat ditimba, tidak kira ketika waktu hujan mahupun panas.

Hari berlalu begitu pantas, dan malam pula menjelma. Kelihatan kelibat ayah yang baru pulang dari kedai sambil membawa bungkusan plastik yang berisi makanan segera. “Yeaaayyyy…!!!” Burger yang dibeli oleh ayah, amat menggembirakan hatiku. Aku yang ketika itu baru berumur 8 tahun, meloncat-loncat kegembiraan. Manakan tidak nya, jarang sekali aku dapat merasai makanan segera begitu. Apatah lagi dengan gaji ayah yang kecil, hanya sebagai kerani Pos Malaysia, membuatkan ayah dan emak amat berjimat-cermat dalam menguruskan hal-hal perbelanjaan keluarga kami.

Tidak lama kemudian, emak datang dari dapur sambil memegang sebilah pisau. Burger itu dipotong dengan berhati-hati kepada beberapa bahagian. Salah satu burger tersebut dipotong menjadi dua bahagian, dan sebiji lagi dipotong kepada empat bahagian. Kata emak, burger yang dipotong menjadi dua itu untuk emak dan ayah, manakala burger yang dipotong empat tersebut untuk kami kongsi kan empat beradik. Begitu lah keadaan nya setiap kali ayah pulang membawa makanan dari luar. Bak kata pepatah, hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah. Walaupun begitu, hari-hari yang ku lalui dirasakan amat gembira. Mungkin aku gembira kerana aku dikurniakan seorang ayah yang penyayang, ibu yang pandai memasak, serta abang dan kakak sebagai teman setia untuk ku bermain. Mungkin juga kerana aku hanya anak kecil yang belum mengerti apa-apa tentang kehidupan.

Hari berlalu, dan tahun berganti tahun. Umur ku pada ketika itu adalah 10 tahun. Di suatu keheningan petang, ku lihat ayah termenung jauh. Sebagai anak bongsu yang amat rapat dengan ayah, dapat ku lihat kegusaran di wajah yang tenang itu. Aku mula menyoal, “Kenapa sejak dua menjak ni, adik tengok ayah asyik termenung?”, soal ku tanpa berfikir. Ayah ku seakan-akan tersentap dengan pertanyaan ku. Direnungnya dalam-dalam wajah kecil anak yang amat disayanginya. Mungkin dia tidak menjangkakan kanak-kanak 10 tahun ini seolah-olah dapat membaca kesusahan yang melanda hatinya. Namun begitu, ayah tetap diam seribu bahasa.

Selang beberapa hari kemudian, aku dikejutkan dengan berita bahawa ayah akan dimasukkan ke hospital. Ayah telah mengambil keputusan menjalani pembedahan untuk membuang barah di bahagian kiri otak ayah. Barah otak. Itulah penyakit yang dihidapi ayah. Menurut emak, setelah diberitahu oleh doktor tentang penyakit yang dihidapi oleh ayah, semasa dalam perjalanan pulang dari hospital, mereka telah singgah di sebuah masjid untuk bersolat Zuhur. Kelihatan hanya beberapa orang sahaja di dalam masjid tersebut. Ayah berdoa sambil menangis teresak-esak, cuba mencari ketenangan dan menabahkan hati. Emak duduk bersimpuh di sebelah ayah untuk menenangkan ayah. Pada waktu itu, ayah berpesan kepada emak agar menjaga keluarga apabila ayah sudah tiada lagi di dunia ini. Emak hanya mengangguk mendengar permintaan suaminya itu. Sesekali air mata nya diseka agar tidak terus jatuh, takut-takut tangisannya itu akan menambahkan lagi kegusaran hati ayah.

Ayah telah menghidapi penyakit barah otak sejak aku masih belum bersekolah lagi. Oleh sebab memikirkan aku dan kakak abang ku yang lain masih kecil lagi, ayah enggan menjalani pembedahan. Namun pada hari ini ayah mengambil keputusan sebaliknya. Mungkin kesakitan yang ayah tanggung sudah tidak tertahan membuatkan ayah mengambil keputusan begitu. Namun, kami sekeluarga reda dengan keputusan ayah. Mulai dari hari itu, kegembiraan dalam keluarga kami semakin pudar.

Sejak itu, hidup ku serta kakak abang ku seperti anak-anak yang tidak beribu bapa. Emak terpaksa menjadikan hospital sebagai rumah kedua kerana mahu menjaga ayah. Abang sulung ku pula yang ketika itu melanjutkan pelajaran ke satu institusi pengajian tinggi awam di Malaysia, tidak dapat menjaga kami tiga beradik kerana harus meneruskan pembelajarannya di sana. Namun begitu, dia akan pulang setiap minggu untuk menjenguk kami. Aku dan Abang Apis hanya di jaga oleh kakak kami yang pada ketika sedang menuntut di tingkatan tiga iaitu baru berumur 15 tahun. Setiap hari, kakak akan memasak nasi dan lauk untuk kami. Kakak jugalah yang mengemas rumah, membasuh pakaian, mengejutkan kami ke sekolah mahupun melayan kerenah kami. Pada ketika itu, kakaklah ibu kedua kami.

Begitu lah keadaan nya kehidupan kami adik-beradik selama dua tahun. Kesedihan kami semakin dirasai terutamanya apabila bulan Ramadan menjelang tiba. Pada kebiasaannya, emak yang akan memasak juadah berbuka untuk kami. Sebut saja apa-apa menu, emak akan cuba sediakan. Ayah pula gemar membeli kuih-muih sebagai hidangan tambahan. Setiap kali azan yang menunjukkan masuknya waktu berbuka puasa bergema, kami akan bersama-sama duduk semeja untuk menjamu hidangan yang telah emak sediakan. Selesai menjamu selera, kami sekeluarga akan bertarawih secara berjemaah.

Namun, keadaan kami sangat berbeza pada tahun itu. Ketiadaan emak dan ayah di sisi, menghilangkan senyuman di bibir kami. Suram… Sesekali aku akan merajuk, tidak mahu makan dengan alasan mahu berbuka bersama-sama emak dan ayah. “Adik tak nak makan!”, rajuk ku. Abang dan kakak ku yang buntu dengan sikapku, akhir nya akan membiarkan sahaja aku begitu.

Semasa ayah dimasukkan ke hospital, ayah telah menjalani beberapa pembedahan. Pembedahan yang pertama adalah untuk membuang air di dalam kepala ayah. Pembedahan kedua pula untuk membuang darah beku. Seterusnya, pembedahan yang ketiga dan keempat adalah untuk membuang barah di otak kiri ayah.

Sesekali, jika ada saudara terdekat yang sudi menumpangkan aku ke hospital untuk menjenguk ayah, aku menggunakan peluang itu dengan sebaiknya. Pernah sekali aku datang menjenguk ayah di hospital, ayah berada dalam keadaan separuh sedar. Mata ayah terpejam rapat. Namun, ada sesuatu yang menyentuh hatiku ketika itu. Ketika ayah sedang berada dalam keadaan sakit begitu, nama panggilan ku tetap meniti di bibir ayah. “Adik…. Adik….. Adik….”. Berlinang air mata ku ketika itu. Perlahan-lahan aku mendekati telinga ayah. “Adik ada di sini, ayah..”, sahut ku perlahan. Hanya ayat itu yang mampu keluar dari mulut ku ketika itu.  Ya Allah… Hamba –Mu ini bermohon, tolong lah selamatkan ayah ku.. Tidak sanggup rasanya aku melihat penderitaan ayah…
25 Mei 2001, setelah hampir dua tahun ayah menjalani rawatan di hospital, akhirnya ayah dibenarkan pulang ke rumah. Namun begitu, ayah di kehendaki menjalani pemeriksaan berkala seperti yang dinasihatkan doktor. Setelah sekian lama berjauhan dengan emak dan ayah, akhirnya dapat juga kami kembali bersama. Kehidupan kami kembali gembira seperti dahulu. Aku lah orang yang paling gembira sekali kerana dapat bermanja dengan ayah. Aaahhhh…. Indahnya hidup….

Tiada siapa dapat menyangka, diharapkan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Suatu hari, ayah mendapat satu panggilan dari doktor yang merawat ayah agar berjumpa dengannya dalam waktu yang terdekat. Kali ini, ayah ditemani oleh Abang Apis. Pagi-pagi lagi ayah sudah keluar. Senja hari, baru lah kelihatan kelibat ayah pulang bersama Abang Apis. Sekembalinya ayah dari hospital, wajah ayah kelihatan muram. Mata ayah redup memandang ke lantai. Ayah diam seribu bahasa.

Tidak lama kemudian, emak memanggil Abang Apis yang juga senyap tanpa bicara. Aku yang kebetulan lalu di depan bilik dapat menangkap sedikit sebanyak perbualan antara mereka berdua. ”Apa yang doktor beritahu tadi?”, soal mak. “Doktor kata, barah ayah mula merebak balik.. Doktor nasihatkan ayah buat rawatan kemoterapi di Hospital Kuala Lumpur.. Kalau ayah buat rawatan kemoterapi, doktor jangkakan hayat ayah untuk hidup selama setahun lagi. Kalau ayah tak mahu, doktor jangkakan hayat ayah mungkin hanya dua atau tiga bulan sahaja..”, cerita Abang Apis kepada mak. Mak terkedu, seakan-akan tidak percaya dengan hal yang di dengarnya. “Betul ke ni?”, tanya mak meminta kepastian. Kali Abang Apis tidak bersuara, sebaliknya hanya menganggukkan kepalanya. Sekali lagi, kebahagiaan keluarga kami bertukar suram…

Sekali lagi kami ditinggalkan emak dan ayah. Kali ini tidak selama dahulu. Emak dan ayah tinggal di hospital lebih kurang empat bulan. Ayah pulang dengan parut terbakar di bahagian kepalanya, kesan dari rawatan kemoterapi yang ayah jalani. Selepas ayah dan mak pulang ke rumah, mereka sepakat untuk berpindah ke rumah yang dibeli oleh ayah suatu ketika dahulu. Kata ayah, ayah mahu tinggal di rumahnya sendiri. Kami sekeluarga akur dengan permintaan ayah.

Kami mulakan kehidupan baru kami di Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Aku ditempatkan di kelas pertama di sekolah baru ku. Alam persekolahan ku di sekolah yang baru tidak seindah yang ku bayangkan. Aku kerap kali di buli di sekolah kerana sifat ku yang terlalu pendiam dan pemalu. Aku juga bukanlah seorang yang berasal dari keluarga berada seperti rakan-rakan ku yang lain. Kebanyakan mereka merupakan anak-anak dari ibu bapa yang berkerjaya seperti guru, pensyarah, doktor, peguam, dan lain-lain. Aku?? Aku hanyalah seorang anak kerani Pos Malaysia. Gaji ayah tidak setanding dengan gaji ibu bapa mereka. Aku reda. Tidak mengapa… Pada pendapatku, biar lah hidupku tidak semewah mereka, yang penting aku sudah merasa cukup bahagia dengan keluarga yang aku miliki sekarang. Namun, kadang kala terasa juga di hati dengan perbuatan mereka. Lebih memeritkan, ada juga dalam kalangan guru-guru yang bersikap pilih kasih dalam memberikan ilmu mereka. Mungkin pakaianku ke sekolah tidak seputih dan sebersih mereka yang berganti baju setiap tahun, namun aku juga ada hak untuk menuntut ilmu seperti mereka yang lain. Adakah aku tidak berhak untuk berjaya???

Setiap kali markah peperiksaan ku lebih tinggi dari rakan-rakan lain di kelas, pasti ada sahaja yang iri hati denganku. Pernah sekali seorang rakan kelasku, bernama Azri, merampas kertas ujian Sains ku hanya kerana markahku lebih tinggi berbanding kertas ujiannya. Berulang-ulang kali dia cuba mengira markah ujian ku, bimbang kalau-kalau cikgu tersilap dalam membuat pengiraan markah. Selepas memastikan cikgu tidak membuat silap, barulah dia memulangkan kembali kertas ujianku, sambil mencebikkan bibirnya. “Huurrrmmmm…. Entah apa silap yang pernahku lakukan padanya..”, aku menghela nafas panjang.

Di rumah pula, keadaan ayah semakin bertambah teruk. Ayah cuba mengurangkan rasa sakitnya dengan pergi ke pejabat. Namun, selalunya rakan sekerja ayah menghantar ayah pulang ke rumah, bimbang sakit ayah bertambah teruk. Ayah seorang yang sangat tabah. Ayah cuba menyembunyikan rasa sakit yang dialaminya dengan membuat kerja. Walau bagaimanapun, nampak jelas di wajah ayah seperti orang yang tidak keruan akibat menahan kesakitan yang tidak tertahan.

Ayah juga seorang yang sangat menghormati tetamu. Hal ini dapat dilihat dengan jelas semasa saudara-maraku sibuk datang ke rumah untuk menjenguk keadaan ayah. Ketika itu, ayah mencuba sedaya upaya untuk senyum dan bermesra di hadapan mereka. Ayah cuba untuk berbual-bual dengan tetamu yang datang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Namun begitu tanpa ayah sedari, pada masa yang sama ayah sedang menggenggam sekeping plastik kecil dengan kuat dan jelas kelihatan tangan ayah menggigil kerana menahan sakit. Mungkin bagi orang lain, kelakuan ayah kelihatan pelik di mata mereka tetapi aku sebagai anak amat mengerti apa yang ayah sedang cuba lakukan.

Semakin hari, keadaan kesihatan ayah semakin memburuk. Ayah sekali lagi dimasukkan ke hospital. Kali ini, ayah sudah tidak berupaya lagi untuk bangun, apatah lagi berjalan seperti dahulu. Sekali lagi, kami menyambut bulan Ramadan tanpa ayah dan mak di sisi. Suatu senja, ketika azan maghrib baru mula berkumandang, kakak ku menerima satu panggilan telefon. Ayah sedang nazak! Tanpa sebutir nasi pun yang masuk ke mulut, dengan serta-merta kami bergegas untuk bersiap. Kelazatan makanan langsung tidak terbayang di fikiran kami. Pada masa itu, hanya ayah yang kami fikirkan. Mujurlah ketika itu abang sulung ku sedang bercuti semester. Abang sulung ku memecut laju kereta Nissan Sunny milik ayah ke hospital.

Sesampainya kami di wad ayah, dapat ku lihat sekujur tubuh yang diselubungi kain putih di katil ayah. Kelihatan mak yang sedang membaca Surah Yasin di tepi katil tersebut. Aku berjalan perlahan-lahan menghampiri katil itu. Mak menghampiri ku dan berkata, “Ayah dah tiada lagi…”. Mendengar sahaja bait kata-kata itu, kami adik-beradik menangis semahu-mahunya.. Bapa saudaraku cuba menenangkan kami. Namun, ia terlalu berat berat untuk kami terima dan terlalu sedih untuk diungkapkan dengan kata-kata…. 21 Ramadan 2001, ayah pergi menghadap Ilahi meninggalkan kami sekeluarga.

Kehilangan ayah amat memberi kesan kepada ku. Aku hilang tempat bergantung dan bermanja.. Sejak ketiadaan ayah, aku seolah-olah sudah tidak mengerti lagi makna kegembiraan. Bagi ku, sekuat mana pun aku cuba untuk ketawa, tiada lagi rasa gembira dalam hatiku. Yang ada hanyalah rasa rindu yang amat dalam kepada ayah.. Aku terlalu rindukan ayah… Aku rindu untuk bermanja dengan ayah… Aku rindu ayah memanggil-manggil namaku seperti dahulu… Tiada perkara lain yang ku inginkan pada waktu ini melainkan seorang lelaki yang bergelar ayah…

Empat tahun kemudian… Pada tahun ini, aku akan menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Bagi mata pelajaran sejarah, kami dikehendaki untuk membuat kerja kursus mengenai seorang tokoh. Tokoh yang aku pilih pada masa itu ialah Tun Mahathir bin Mohamad. Banyak buku-buku autobiografi tentang beliau yang ku baca. Padaku, beliaulah idola ku sepanjang hayat. Pada suatu hari, sedang aku asyik membaca buku autobiografi tentang Tun Mahathir, hatiku terpesona dengan sebaris ayat yang digunakan Tun Mahathir sebagai penguat semangat diri beliau. “Jika orang lain boleh lakukan, mengapa aku tidak boleh lakukan?”, aku membaca bait-bait kata itu berulang-ulang kali. “Ya! Jika orang lain boleh lakukan, mengapa aku tidak boleh lakukan??”, aku bermonolog. Kata-kata tersebut seolah-olah telah menyuntik semangat baru kepadaku. Aku tersenyum puas.

Selang beberapa hari, di sekolah agama ku mengadakan sambutan Maulidurrasul. Para pelajar masing-masing sibuk membuat persediaan untuk majlis berkenaan. Sedang aku sibuk membuat persiapan pentas, aku begitu tertarik dengan latihan  nyanyian yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar. Mereka membawa lagu yang bertajuk ‘Pondok Kecil’ nyanyian kumpulan Aeman. Terdiam aku mendengar lirik lagu tersebut. Hatiku sayu mendengarkan nyanyian lagu itu. Mahu sahaja aku menangis di situ, namun ku tahankan rasa sedih ku itu dengan senyuman.



Di pondok kecil di pantai ombak,
Berbuih putih beralun-alun..

Di suatu hari ayah berkata,
Jaga adik mu ayah akan pergi jauh..
Ku pandang wajah ayah dahinya ku cium,
Air mata mengalir hatiku pilu..

Diam-diamlah sayang jangan menangis,
Doakan ayah semoga diterima..
Diam adik ku sayang jangan menangis,
Andai ayah gugur doakan dia syahid..

Selamat berjuangan ayah tercinta,
Kau pergi dulu ayah ke medan juang..
Ku iringi doa moga berjaya,
Beroleh kemenangan demi agama Islam..



Wahai abang ku ke mana,
Ayah ku sayang ayah ku cinta ayah..

Duhai adik ku sayang jangan bersedih,
Ayah mu pergi menyambut seruan Ilahi..
Tapi ingatlah adik ku pesanan ayah,
Berjuangan dan berkorban walau di mana jua..

Pada Mu Tuhan aku bermohon,
Dosa ayah ku minta diampunkan..
Berilah rahmat bantulah dia,
Untuk menegakkan agama Islam..


Aku termenung jauh. Nama adalah suatu doa. Nama ku Farha. Farha dalam bahasa Arab bererti girang. Mungkin benar apa yang diperkatakan dalam lirik ini. Ayah dan emak tentu mahu melihat aku gembira. Ya! Aku yakin ayah tidak mahu aku bersedih lagi. Sampai bila aku harus bersedih dan tidak semangat begini? Sedangkan Nabi Ayyub suatu ketika dahulu menderita penyakit kulit selama bertahun-tahun. Namun baginda tetap bersyukur kerana Allah hanya mengujinya selama tujuh tahun, sedangkan Allah telah memberikan baginda nikmat hidup selama berpuluh-puluh tahun. Memang benar, aku bukanlah nabi tetapi jika baginda boleh lakukan, mengapa aku tidak boleh lakukan? Sedangkan ujian yang diberikan oleh Allah kepada ku tidak seberat yang diberikan Allah kepada para rasulnya. Allah tidak akan menguji hamba –Nya dengan ujian-ujian yang hamba –Nya tidak mampu untuk terima.

            Hari ini aku bersedih kerana kehilangan ayah, mungkin suatu hari nanti aku akan dipertemukan dengan seorang suami yang dapat membahagiakan aku hingga ke akhir hayat. Tiada siapa tahu perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. Allah tidak akan berlaku kejam kepada hamba –Nya. Aku harus terima kehilangan ayah dengan hati yang reda. Mulai hari ini, aku akan mulakan lembaran hidup yang baru. Aku harus pandang ke hadapan! Sesekali aku harus juga pandang ke belakang supaya aku dapat mengambil iktibar dari pengalaman-pengalaman masa lalu. Belum terlambat untuk berubah.

Farha binti Jumali yang suatu ketika dahulu hanyalah kanak-kanak biasa, mampu menempa nama di peringkat antarabangsa.  Tamat sahaja tingkatan enam, aku melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu. Aku mula aktif dalam bidang penulisan sejak di tingkatan enam lagi. Peluang yang ku ada semasa di universiti pula, aku gunakan dengan sebaiknya untuk mengembangkan lagi bakat ku.  Semakin lama semakin banyak aku menghantarkan karyaku ke surat-surat khabar dan juga majalah.  Pada tahun akhir aku di universiti, aku ditawarkan untuk menulis novel di bawah Syarikat Jarum Emas Sendirian Berhad. Cubaan pertamaku mendapat sambutan yang begitu hangat daripada pembaca. Jualan novel pertamaku yang berjudul ‘Hati Alam’ berjaya terjual sebanyak 36,000 naskhah hanya dalam masa lima bulan.

            Sejak itu, aku semakin kerap mendapat tawaran untuk menulis novel-novel. Antara novel-novel yang mendapat sambutan selepas percubaan pertamaku ialah “Kehidupan Seorang Wanita”, “Warna Kehidupan”, dan banyak lagi. Kesibukan sebagai penulis tidak menghalangku untuk menuntut ilmu dan melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat PHD. Sepanjang sepuluh tahun menjadi penulis, aku dianugerahkan dengan pelbagai anugerah kehormat.

            Sehari selembar benang, lama-lama akan menjadi kain juga.. 20 tahun telah berlalu… Pada 2 April tahun ini genaplah umurku 35tahun. Aku bukanlah anak seorang kenamaan untuk aku jadikan itu sebagai batu loncatan untuk aku berjaya. Segala-galanya aku usahakan sedikit demi sedikit dari dahulu hinggalah kini. Kini, aku bukan sahaja menulis novel, malah aku juga menulis buku-buku berbentuk ilmiah. Aku dihijab kabulkan dengan seorang jurutera dalam bidang automotif, juga seorang lelaki yang sangat penyayang dan memahami. Hasil dari perkahwinan kami, kami dikurniakan enam orang cahaya mata, iaitu tiga perempuan dan tiga lelaki. Aku yang dulu hanya kanak-kanak biasa, kini bergelar Profesor Emeritus Farha binti Jumali. Ibarat resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Begitu lah juga aku. Ilmu yang dikurniakan Allah ini akan aku  sebarkan, agar anak bangsaku mendapat manfaatnya. Pengalaman dan cabaran yang ku lalui akan ku kongsikan agar dapat dijadikan pengajaran pada masa yang aka datang…

SEKIAN.

No comments:

Post a Comment