SMK BATU MENGKEBANG

SMK BATU MENGKEBANG

Label

Tuesday, May 29, 2012

PUISI MELAYU TRADISIONAL


1.0 PENGENALAN

1.1 Pendahuluan

Dalam bab ini, satu tinjauan akan dilakukan terhadap warisan bahasa Melayu yang mempunyai peradaban yang tinggi serta mempunyai keunikan yang tersendiri iaitu puisi tradisional Melayu. Huraian akan ditumpukan kepada definisi dan konsep puisi-puisi tradisional Melayu. Dalam lain bahagian, penjelasan ringkas akan diberikan tentang ciri-ciri yang terdapat dalam pantun, syair, seloka dan lain-lain. Seterusnya, perkara yang akan dibincangkan ialah bahagian-bahagian pecahan kecil daripada puisi yang dibincangkan berserta contoh.



1.2 Ruang Lingkup

Penulisan ilmiah saya merangkumi ruang lingkup yang terhad. Kertas ini mengupas dengan lebih mendalam tentang pantun, syair, seloka serta banyak lagi puisi-puisi tradisional Melayu yang lain.



1.3 Batasan

Batasan daripada penulisan ilmiah saya ini merangkumi definisi dan konsep puisi-puisi tradisional Melayu. Selain itu, pecahan-pecahan kecil puisi serta ciri-ciri pentingnya turut dibincangkan. Contoh-contoh yang relevan juga dilampirkan bagi mengukuhkan lagi penulisan ilmiah saya.



2.0 DEFINISI DAN KONSEP

Puisi tradisional Melayu merupakan warisan bahasa Melayu yang sangat unik. Puisi tradisional Melayu telah pun muncul sebelum bermulanya sistem tulisan lagi. Menurut Abdul Halim Ali (2004:2), puisi bukan sahaja sebati dalam jiwa masyarakat sebagai satu hasil seni, malah merupakan satu bentuk wadah pemeliharaan adat, pembina sahsiah diri, pengajar agama dan ilmu pengasih, pertahanan, hiburan, dan juga kepercayaan.

            Menurut Mohd Rosli Saludin (2000:10), bentuk-bentuk dan jenis-jenis puisi yang terdapat dalam puisi tradisional Melayu adalah seperti pantun, syair, seloka, teromba, gurindam, peribahasa berangkap, talibun, nazam, rubai, kit ’ah, masnawi, ghazal, zikir dan selawat, berzanji, teka-teki, endoi, rejang, hadrah dan dabus.



3.0 GENRE PUISI TRADISIONAL MELAYU

Sejarah kesusasteraan Melayu telah mencapai kegemilangannya pada abad ke-17 sebelum menerima pengaruh kemodenan pada awal abad ke-20. Berikutan dengan itu, hasil-hasil sastera ini telah dibahagikan kepada dua golongan iaitu kesusasteraan Melayu tradisional dan moden. Hasil kesusasteraan ini kemudiannya dibahagikan kepada dua betuk iaitu prosa dan juga puisi.

            Berdasarkan kepada pembahagian tersebut, dapat dirumuskan bahawa puisi Melayu tradisional termasuk dalam golongan karya kesusasteraan bentuk bukan cerita (non-naratif). Pelbagai kajian telah dilakukan oleh para sarjana. Mereka telah mengklasifikasikan jenis-jenis puisi Melayu tradisional dengan pelbagai istilah. Walau bagaimanapun, istilah-istilah tersebut tidak pernah konsisten. Harun Mat Piah (1998) telah mengenal pasti 34 istilah yang digunakan oleh para pengkaji. Beliau mencadangkan pengelasan genre  puisi Melayu tradisional dilakukan berdasarkan bentuk, isi, tema, dan fungsi puisi. Oleh yang demikian, puisi Melayu tradisional dirumuskan kepada dua belas iaitu pantun, syair, nazam, gurindam, seloka, teka teki, peribahasa berangkap, teromba, talibun, prosa berirama dan juga zikir.



4.0 PUISI TRADISONAL MELAYU

4.1 Pantun

Pantun merupakan puisi tradisional Melayu yang paling popular. Hal ini disebabkan oleh sifatnya yang asli. Keaslian yang dimaksudkan adalah kerana pantun hanya dijumpai pada bangsa Melayu Nusantara sahaja. Menurut Za’ba 1965:219), pantun adalah kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal orang Melayu sebenar. Sejak orang Melayu belum tahu menulis surat lagi, mereka telah pun pandai berpantun dan kerap berbalas pantun sesama mereka. Menurut Harun Mat Piah, et al (2000:112) pula, pantun yang telah pun diterima umum merupakan puisi asli ciptaan orang  Melayu iaitu bukan saduran atau penyesuaian daripada puisi-puisi Jawa, India, Cina dan sebagainya.



4.1.1 Ciri-ciri pantun

Ciri-ciri pantun dapat dilihat dari aspek strukturnya. Ciri pertama yang ada pada pantun ialah pantun mempunyai rangkap-rangkap yang berasingan. Setiap rangkap terdiri daripada baris-baris yang sejajar serta berpasangan seperti 2,4,6 hingga 16.

            Seterusnya, pantun mempunyai jumlah suku kata dalam setiap baris antara lapan hingga dua belas suku kata iaitu mengandungi kata dasar antara empat hingga lima patah perkataan. Namun begitu, pada kebiasaannya pantun mengandungi antara lapan hingga sepuluh suku kata.

            Selain itu, setiap rangkap pantun mempunyai dua bahagian iaitu bahagian pembayang dan juga bahagian maksud. Sebagai contoh, dala satu quatrain terdapat dua unit, satu unit pembayang dan unit satu lagi merupakan unit maksud.

            Ciri  keempat ialah pantun mempunyai skema rima hujung yang tetap iaitu a-b-a-b. Walau bagaimanapun, terdapat juga variasi pada rima hujung pantun iaitu a-a-a-a, a-a, a-b, b-a, dan sebagainya. Pada kebiasaannya, pantun akan menggunakan rima akhir a-b-a-b.

            Ciri terakhir ialah satu rangkap pantun sahaja sudah memiliki kesatuan fikiran yang lengkap dan sempurna. Dalam kata lain, satu rangkap pantun sahaja sudah dapat memberikan maksud yang hendak disampaikan secara keseluruhan.



4.1.2 Pengelasan pantun

Pantun dapat dibahagikan kepada beberapa tema dan persoalan iaitu pantun kanak-kanak, pantun cinta dan kasih sayang, telatah dan cara hidup masyarakat, pantun teka-teki, pantun puji-pujian atau sambutan, pantun nasihat, agama dan adat, serta pantun naratif atau cerita.

            Berdasarkan tema dan juga persoalan pantun, muncul jenis-jenis pantun seperti pantun budi, pantun nasihat, pantun jenaka dan sebagainya. (Lihat contoh jenis pantun pada lampiran)


Berpantun ketika majlis merisik merupakan adat Melayu.


Budaya berpantun harus diteruskan oleh golongan muda.


Budaya berpantun harus dipupuk dari usia muda.



4.2  Syair

Syair dikatakan berasal dari Arab. Walau bagaimanapun, didapati bahawa bentuk syair Melayu berbeza dengan bentuk syair yang terdapat dalam kesusasteraan Arab. Menurut Muhd. Mansur Abdullah (1991:109), dalam puisi Melayu klasik ditegaskan bahawa walaupun syair bukanlah hak mutlak ataupun kepunyaan bangsa Melayu, namun memandangkan ia sudah berakar umbi di alam Melayu sejak sekian lama, maka ia sudah dianggap dan diterima oleh orang Melayu sebagai puisi tradisi mereka.



4.2.1 Ciri-ciri syair

Seperti pantun, syair juga mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Syair mempunyai susunan baris yang terikat. Susunan terikat yang dimaksudkan ialah syair hanya mempunyai empat baris sahaja bagi setiap rangkap.

 Selain itu, setiap hujung baris syair hanya mempunyai satu rima yang sama sahaja. Rima akhir bagi syair adalah a-a-a-a. Namun begitu, syair juga mempunyai variasi yang bergantung pada bentuk rima iaitu dua baris serangkap dengan rima a-b, tiga baris serangkap dengan rima a-a-b, empat baris serangkap dengan rima a-b-a-b, empat baris serangkap dengan rima a-b-b-b, empat baris serangkap dengan rima a-a-a-b, c-c-c-d, d-d-d-d dan seterusnya, empat baris seirama da yang terakhir empat baris berbait.

 Ciri seterusnya, satu rangkap syair iaitu empat baris syair merupakan kesatuan idea. Bagi tujuan menyampaikan maksud, setiap unit-unit dari rangkap syair tidak boleh berdiri sendiri. Walau bagaimanapun, setiap unit rangkap syair akan bersambung-sambung dan menjadi kesatuan yang sistematik seterusnya berkembang.



4.2.2 Jenis syair

Kumpulan syair dalam kesusasteraan Melayu dalam digolongkan dalam beberapa jenis. Syair terdiri daripada syair rekaan pengarang yang berisi cerita, syair yang mengandungi cerita atau hikayat lama, syair mengenai sesuatu peristiwa atau sejarah, syair yang bersifat kiasan atau sindiran dan juga syair yang berisi nasihat dan pengajaran agama. ( Lihat contoh jenis syair pada lampiran)


Walaupun syair dikatakan berasal dari Arab, syair telah berakar umbi dalam jiwa bangsa Melayu.



4.3 Gurindam

Gurindam pada asalnya sudah terkenal sejak zaman Hindu lagi. Dalam Warna Sari Sastera Melayu Tradisional Melayu (1996:25) ada menyatakan bahawa kata gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit yang dibawa masuk ke alam Melayu melalui bahasa Tamil. Walau bagaimanapun, isi gurindam yang terdapat dalam kesusasteraan Melayu berbeza dengan isi gurindam yang terdapat dalam puisi Sanskrit atau Tamil. Gurindam terkenal dalam masyarakat Melayu khususnya di Sumatera. Menurut Gazali Dunia (1992:104) di Sumatera, gurindam juga dikenali dengan nama lain seperti Muslihat Aceh, Gurindam Barus, Lagak Minang, dan sebagainya. Seperti pantun, gurindam juga merupakan puisi ciptaan masyarakat Melayu.



4.3.1 Ciri-ciri gurindam

Gurindam mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Gurindam tergolong dalam golongan puisi bebas. Oleh itu, jumlah baris, perkataan, dan juga suku kata dalam setiap baris tidak ditetapkan. Namun demikian, gurindam pada kebiasaannya hanya mempunyai dua baris dalam setiap rangkap seperti Gurindam Dua Belas karangan Raja Ali Haji, tetapi jumlah baris dan bentuk rima nya tetap bersifat bebas.

            Gurindam juga mengandungi ciri-ciri puisi lama. Ciri-ciri puisi lama yang dapat dilihat seperti kadang kala terdapat unsur-unsur asonansi dan aliterasi dalam baris gurindam.          Bentuk-bentuk puisi lain seperti pantun dan syair juga kadang kala dapat dilihat pada awal, tengah, mahupun akhir gurindam.

            Ciri lain ialah gurindam kebiasaannya menyampaikan maksud yang agak serius, terutamanya apabila sesuatu gurindam itu disampaikan bagi tujuan menyampaikan pengajaran. Peranan gurindam lebih berfokus kepada pendidikan moral yang baik. ( Lihat contoh gurindam pada lampiran)


Gurindam jiwa merupakan gurindam yang pernah dipopularkan oleh Noordin Ahmad dan Latifah Omar.


Gurindam Dua Belas merupakan hasil kerja Raja Ali Haji.



4.4 Seloka

Menurut Harun Mat Piah, et al (2000:122), perkataan seloka berasal dari kata shloka dalam bahasa Sanskrit yang membawa erti puisi yang terdiri daripada dua baris. Seloka dikatakan berasal daripada kesusasteraan Hindu klasik yang didapati dalam  epos Mahabhrata dan Ramayana. Menurut Tun Seri Lanang dalam buku Sejarah Melayu 1612 membandingkan gambaran bunyi burung-burung di taman Puteri Gunung Ledang dengan orang bergurindam dan berseloka.



4.4.1 Ciri-ciri seloka

Seloka mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Menurut pandangan C.Hooykaas, Gazali Dunia (1992:108) seloka merupakan suatu puisi yang mengandungi empat baris dalam setiap rangkap. Setiap baris seloka pula mengandungi dalam lingkungan lapan hingga sebelas suku kata.

            Harun Mat Piah dalam kajiannya telah menyatakan beberapa ciri-ciri seloka. Antara ciri yang dinyatakan oleh beliau ialah seloka merupakan karangan yang berangkap yang menggunakan rima hujung berbentuk bebas.

            Ciri seterusnya ialah dasar seloka bertujuan sebagai suatu sindiran ataupun jenaka. Kata-kata yang berbentuk sindiran, mahupun ejekan disampaikan dalam bentuk rangkap-rangkap seloka. Walau bagaimanapun, pada kebiasaannya isi seloka lebih berunsurkan jenaka dan gurauan.

Seloka juga pada kebiasaannya menggunakan bahasa yang meleret-leret dalam penceritaan nya di samping sindiran yang tajam.

4.4.2 Jenis seloka

Jenis sesebuah seloka bergantung kepada tema seloka. Mengikut pendapat Harun Mat Piah, tema dan isi seloka amat terbatas. Hal ini disebabkan oleh dasar isi kepada seloka yang berunsurkan sindiran dan jenaka. Berikutan dengan itu, tema seloka juga hanya terhad dalam lingkungan unsur-unsur sindiran da jenaka sahaja.

            Namun demikian, terdapat terselit pengajaran dan panduan kepada masyarakat daripada ejekan dan sindiran rangkap-rangkap seloka yang digubah. ( Lihat contoh seloka pada lampiran)


Antara seloka yang melambangkan kenegerian yang popular dalam kalangan masyarakat.



5.0 PENUTUP

Secara tuntas, puisi tradisional Melayu merupakan warisan bangsa Melayu yang mempunyai keunikan tersendiri dan berharga. Definisi dan konsep beberapa puisi-puisi tradisional telah dihuraikan bagi memberi lebih pemahaman tentang puisi-puisi tersebut. Pemahaman terhadap puisi-puisi tersebut dipertajam kan lagi dengan adanya ciri-ciri puisi berserta contoh yang relevan.

BIBLIOGRAFI

Abdul Halim Ali. (2006). Mendekati puisi Melayu tradisional. Tanjung Malim. Penerbitan Profesional Baharu

Mohd Yusof Md. Nor, Dr. Abd. Rahman Kaeh. (1985). Puisi Melayu tradisi. Petaling Jaya. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Mohd. Rosli Saludin. (2007). Puisi Melayu tradisional. Bukit Mertajam, Penang. Goal Intelligent Publishing Sdn. Bhd.

Noriah Mohamed. (2006). Sentuhan rasa dan fikir dalam puisi Melayu tradisional. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Harun Mat Piah et al,. (2000). Puisi Melayu tradisional. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka

2 comments:

  1. cikgu saya ada satu soalan apakah fungsi umum puisi tradisional

    ReplyDelete
  2. saya Sukiman seorang TKI DI MALAYSIA
    pengen pulang ke indonesia tapi gak ada ongkos
    sempat saya putus asa apalagi dengan keadaan susah
    gaji istri saya itupun buat makan sehari2. sedangkan hutang banyak
    kebetulan istri saya buka-buka internet Dan mendapatkan
    nomor MBAH KASSENG (0853-4288-2547) katanya bisa bantu orang melunasi hutang
    melalui jalan TOGEL dan dengan keadaan susah, terpaksa saya
    hubungi dan minta angka bocoran TOTO DAN MAGNUM
    angka yang di berikan waktu itu 4D yang nombor 1
    ternyata betul-betul tembus 100% alhamdulillah dapat 269.jt Oleh Karna itu saya posting no HP MBAH KASSENG ini supaya saudarah-saudara ku di indonesia maupun di luar negri yang sangat kesulitan masalah ekonomi (kesusahan) jangan anda putus asa. Karna jalan masih panjang yang penting anda tdk malu atau takut menghubungi MBAH KASSENG. Semua akan berubah Karna kesuksesan ada pada diri kita sendiri. Yakin dan percaya bahwa itu semua akan tercapai berkat bantuan dari mbah AMIN.
    MBAH KASSENG
    NO: 0853-4288-2547 / +6285-342-882-547

    ReplyDelete