SMK BATU MENGKEBANG

SMK BATU MENGKEBANG

Label

Wednesday, May 30, 2012

CONTOH DEBAT KETUA PEMBANGKANG.


TAJUK: PILIHAN RAYA KAMPUS MELAHIRKAN PEMIMPIN BERINTEGRITI


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Yang Berhormat Tuan Speaker Dewan, Pegawai-pegawai Persidangan, Yang Berhormat Pembangkang, Yang Berhormat Kerajaan yang sudah cukup yakin dengan usul yang  dibawa hari ini serta ahli-ahli dewan sekalian. Saya selaku ketua pembangkang pada hari ini bangkit untuk menyatakan bahawa kami di barisan pembangkang menolak usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan bahkan kami ingin menegaskan bahawa pilihan raya kampus tidak melahirkan pemimpin yang berintegriti.

Tuan Yang Dipertua, dan sidang dewan yang dimuliakan,

Menurut kamus dewan edisi keempat, perkataan ‘integriti’ boleh membawa maksud sebagai kejujuran atau keutuhan. Frasa ‘pilihan raya kampus melahirkan pemimpin yang berintegriti’ boleh disimpulkan dengan maksud, pilihanraya kampus dapat melahirkan pemimpin yang jujur, amanah dan utuh jati dirinya. Walau bagaimanapun, berdirinya saya di sini bertugas untuk menolak usul tersebut. Kewajaran mahasiswa terlibat dalam politik telah lama diperkatakan, sama ada politik kampus ataupun politik negara melibatkan parti-parti tertentu. Rata-rata penuntut yang ditemui bersifat berkecuali daripada terlibat dengan politik tetapi tidak menolak untuk menyokong mana-mana pemerintah.

Saban tahun ratusan mahasiswa mendaftar di universiti dan kolej dengan pelbagai keinginan, matlamat dan gaya penampilan untuk menambah ilmu di dada. Teruja mengulang kaji pelajaran untuk mendapat segulung ijazah dalam pelbagai bidang di menara gading. Kehidupan yang mencabar di kampus sedikit sebanyak mempengaruhi kecenderungan mereka bertembung dengan isu semasa yang melibatkan kepemimpinan, keilmuan, pergerakan politik dan perjuangan peribadi. Namun dicelah-celah kekalutan menimba ilmu terdapat segelintir penuntut yang membawa fahaman politik masing-masing di luar ke dalam kampus. Contoh yang paling jelas kita boleh lihat ialah melalui kes yang telah berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada penghujung tahun 2011. Seorang mahasiswa UPSI, Adam Adli, telah bertindak menurunkan bendera yang mempunyai gambar perdana menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak, bagi mendapatkan perhatian semata-mata untuk melontarkan pendapatnya memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang menyekat mahasiswa berpolitik di kampus. Yang dimaksudkan dengan berpolitik di kampus bukanlah berkaitan dengan politik dalam kampus semata-mata tetapi mengaitkan politik luar ke dalam kampus. Untuk pengetahuan pihak kerajaan, Adam Adli pernah tercalon untuk bertanding dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Walau bagaimanapun, pencalonan nya ditarik balik kerana gambarnya bersama ketua pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tersebar.

Perkara yang saya ingin kaitkan di sini bukanlah mengenai gambar Adam Adli yang telah tersebar, namun saya ingin mempersoalkan integriti mahasiswa tersebut.  Seandainya pencalonan Adam Adli tidak ditarik balik dan mahasiswa tersebut telah menang sekali gus menjadi sebahagian daripada organisasi MPP, dari mana datang nya integriti dalam diri mahasiswa tersebut sebagai pemimpin mahasiswa sedangkan sebelum memegang jawatan MPP, telah pun menunjukkan sikap yang tidak beretika dan tidak bermoral? Adakah mahasiswa yang bersikap seperti itu yang kita harapkan dapat menjadi pemimpin, apatah lagi sebagai pemimpin yang berintegriti? Belum pun menang, telah pun menunjukkan taring nya. Saya harap yang berhormat kerajaan dan sidang dewan dapat merenungkan dan menjawab sendiri persoalan yang telah saya kemukakan sebentar tadi.

Sidang dewan yang saya hormati sekalian,

Kita boleh lihat dengan jelas, banyak lubang-lubang kelemahan yang kita boleh dapati melalui pilihan raya kampus ini. Banyak isu-isu yang timbul sehingga menimbulkan pemberontakan mahasiswa. Contoh nya, isu penangguhan pilihan raya kampus baru-baru ini yang menimbulkan kemarahan mahasiswa. Dek kerana kecewa dengan Pilihan Raya Kampus yang ditangguhkan sehingga September depan, kira-kira 100 mahasiswa berdemonstrasi di perkarangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sini membantah keputusan tersebut dan mahu ia diadakan secepat mungkin. Kumpulan mahasiswa terbabit mula berkumpul secara aman di hadapan bangunan KPT selepas solat Jumaat sambil membawa sepanduk “Hidup Mahasiswa”, “Kembalikan Autonomi Mahasiswa” sambil melaungkan ‘Hidup Mahasiswa’ dan ‘Hancur Kezaliman’. Pilihan raya kampus sepatutnya bermula pada 26 Mac sehingga April lepas tetapi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dikatakan menangguhkannya pada saat akhir dan mengumumkannya melalui laman sosial Facebook.

Sidang dewan yang saya hormati sekalian,

Jika kita buka mata kita dengan seluas-luasnya, kita boleh lihat bahawa secara majoritinya, kebanyakan mahasiswa pengundi mengambil sikap berkecuali dan juga mengambil sikap acuh tidak acuh atau tidak tahu tentang selok-belok pilihan raya kampus. Hal ini kerana mereka merasakan bahawa pilihan raya kampus tidak penting bagi mereka. Buktinya, akhbar harian Metro pada tarikh 21 Disember 2005 melaporkan bahawa hanya seramai 41% daripada jumlah keseluruhan 11160 orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang keluar mengundi bagi sesi 2002/2003, manakala hanya seramai 46.6% pelajar Universiti Malaya yang keluar mengundi pada pilihan raya kampus sesi 2002/2003.

Bukti menunjukkan lebih separuh daripada mahasiswa-mahasiswa ini tidak menganggap pilihan raya kampus itu sesuatu yang penting. Oleh hal yang demikian, mana mungkin mahasiswa-mahasiswa seperti ini yang pergi berdemonstrasi di hadapan perkarangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menuntut mempercepatkan pilihan raya kampus. Tidak sama sekali! Sebaliknya, mahasiswa yang pergi berdemonstrasi itu adalah mahasiswa-mahasiswa yang mempunyai kepentingan tersendiri dalam pilihan raya kampus tersebut. Mahasiswa tersebut tentulah dalam kalangan calon-calon mempunyai kepentingan bertanding pilihan raya kampus. Oleh itu, sekali lagi saya ingin menanyakan pada pihak berhormat kerajaan, dari sisi mana datangnya sifat integriti dalam diri mahasiswa tersebut sedangkan yang terserlah hanyalah kelemahan sikap seperti terburu-buru, tidak matang dalam membuat pertimbangan dan juga hanya mementingkan diri.

Tuan Yang Dipertua, dan sidang dewan yang dimuliakan,

Saya tidak akan meninggalkan debat ini tanpa memberikan alternatif lain yang boleh melahirkan mahasiswa yang bersifat pemimpin dan berintegriti bagi menggantikan pilihan raya kampus. Pada 11 Mei 2010, Y.B. Menteri Pengajian Tinggi telah melancarkan Rakan Integriti Mahasiswa (RIM). Pelancaran RIM dibuat sempena Kongres Integriti Pemimpin Mahasiswa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Penubuhan RIM ini penting agar ianya dapat dijadikan asas dan saluran terbaik agar integriti dijadikan sebagai budaya dalam kampus selari dengan hasrat kerajaan melalui perlaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Adalah diharapkan agar penubuhan RIM ini dapat menjadikan ahlinya sebagai Integrity Champion dalam kalangan rakan sebaya diperingkat institusi pengajian masing-masing khususnya, dan masyarakat amnya. Idea penubuhan RIM ini telah dicetuskan sendiri oleh Y.B Menteri Pengajian Tinggi pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Debat Perdana Integriti 2010 di Universiti Malaysia Sabah pada 16 Mac 2010. Beliau telah menyarankan agar semua IPTA menubuhkan RIM bagi membolehkan mahasiswa melaksanakan program kesedaran integriti di kampus masing-masing. Sehingga Disember 2010, sebanyak sepuluh institut pengajian tinggi telah menubuhkan RIM. Antaranya ialah Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Islam Malaysia, Institut Pendidikan Guru Kampus Melewar dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah. Hal ini menunjukkan bahawa penubuhan RIM membawa kesan yang positif terhadap mahasiswa.

Sidang hadirin sekalian,

Alternatif lain yang ingin saya cadangkan di sini ialah diadakan Program Suara Mahasiswa. Program suara mahasiswa yang ingin saya cadangkan di sini melibatkan semua mahasiswa di sesebuah universiti, pihak atasan dari bahagian Hal Ehwal Pelajar dan juga pihak-pihak lain yang bertanggungjawab membela mahasiswa. Program ini dilakukan dengan cara diadakan sekali atau dua kali setiap semester yang mana mempertemukan dua mata antara mahasiswa dan juga pihak atasan universiti. Sesiapa sahaja mahasiswa yang mempunyai rasa tidak puas hati, atau tidak senang dengan pengurusan universiti, boleh melontarkan secara terus buah fikiran mereka kepada pihak atasan tanpa perlu melalui pelbagai karenah birokrasi. Hal ini sangat membantu pelajar melahirkan sifat yakin diri untuk melontar pendapat dan memperjuangkan hak masing-masing selain dapat memudahkan proses penyelesaian masalah.

Sidang dewan yang saya hormati sekalian,

Mahasiswa merupakan aset yang berharga kepada negara. Sifat positif yang ada dalam diri mahasiswa sangat-sangat membantu dalam membangunkan negara. Oleh hal yang demikian, sifat integriti sangat penting bagi melahirkan mahasiswa yang bersifat pemimpin. Saya tegas kan sekali bahawa, pilihan raya kampus tidak melahirkan pemimpin yang berintegriti.

Sekian, terima kasih.

16 comments:

  1. mane peranan barisan pembangkang?

    ReplyDelete
  2. NINI LOVE AMMAR
    SYG ABG NAUFAL

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. IRFAN FITRIII . adila ska at ag.....................................

      Delete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. hazim zaki loves ain nur sofea (tai long)

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum cikgu girang,saya hendak minta sedikit prtolongan..bolehkah cikgu memberikan beberapa isi Dan huraian tentang Tajuk debat ini-''pembelajaran bahasa Arab dalam bahasa ibunda lebih baik''.kumpulan saya sebagai pembangkang

    ReplyDelete
  7. assalamualaikum.saya mrupkan peserta bhas sek.bleh tak tolong saya untuk sertakan format ketua pembangkang dalam perbahasan,yang mengandungi rasional,pembahagian gerak kerja,definisi,permis dan sbgnya..hrap bleh tlg sy...

    ReplyDelete